[WAJIB TAHU] TANAH RUNTUH :PUNCA DAN CARA MENGATASI

[WAJIB TAHU] TANAH RUNTUH :PUNCA DAN CARA MENGATASI

TANAH RUNTUH?

Awal pagi Jumaat,16 Disember 2022 Negara digemparkan dengan kejadian Tanah Runtuh Di Batang Kali. Angka korban masih meningkat dan mangsa belum berjaya dikenal pasti. Seluruh negara turut berduka cita dengan berita gempar yang baru berlaku.

Tanah runtuh merupakan salah satu daripada fenomena geobencana yang sering berlaku samada secara semulajadi atau akibat aktiviti kerakusan manusia.

Antara faktor kejadian tanah runtuh adalah:

1. Faktor semula jadi 

Kejadian hujan lebat dan berterusan juga boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh khususnya kawasan tanah tinggi yang sensitif. Hujan yg berteruskan akan menyebabkan tanah menjadi lembap dan struktur tanah yg lemah.

2. Faktor aktiviti manusia

Di antara aktiviti manusia adalah melibatkan pembangunan infrastruktur seperti lebuhraya dan kawasan penempatan baru yang semakin pesat. Selain itu, kesan pencerobohan tanah bagi kegunaan pertanian di atas cerun juga akan menyebabkan kestabilan cerun semakin rendah.

Contoh : pengubahsuaian cerun, puncak cerun lebih had, pengubahsuaian saliran, dan pemindahan pokok dan tumbuhan

WhatsApp Image 2022-12-17 at 1.40.47 PM


Secara umum punca berlakunya tanah runtuh adalah:

1. Kandungan air yang tinggi menyebabkan tanah menjadi longgar dan mudah bergerak serta beralih ke tempat lain.  Tekanan air bawah tanah juga bertindak menjadikan cerun tidak stabil. Contoh : Hujan lebat yang berterusan

2. Penebangan pokok yang tidak terancang dan penarahan bukit juga mengundang risiko berlakunya hakisan yang lebih teruk pada cerun kerana tiada lagi tumbuhan yang menjadi pengikat tanah

3. Berat melampau yang terhasil dari pengumpulan hujan, timbunan batu, timbunan sampah, atau struktur binaan manusia yang boleh memberi tekanan kepada cerun lemah hingga mengakibatkan tanah runtuh.

4. Gegaran kuat dari mesin, bahan letupan, trafik, malah guruh juga mungkin boleh menjadi punca keruntuhan cerun lemah.  Contohnya seperti aktiviti perlombongan dan pengkuarian yang tidak terkawal yang boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh.

5. Gempa bumi menghasilkan gegaran yang boleh menyebabkan struktur cerun yang sedia lemah mengalami runtuhan atau menyebabkan pergerakan sesar (discontinuity) menjadi lebih aktif lagi.

WhatsApp Image 2022-12-17 at 3.30.10 PM
kredit gambar BERNAMA


Cara untuk mengatasi isu tanah runtuh:

1. Memastikan pembangunan terancang dilaksanakan. Pembangunan seperti perumahan, perladangan dan pelancongan perlu dirancang dengan teliti demi keselamatan dalam jangka panjang.Kawasan ladang di lereng bukit perlu dibina teres selain menyusun atur tanaman dan laluan untuk menyelamatkan cerun. 

Dari sektor pembangunan, para pemaju meneliti terlebih dahulu keutuhan tanah di kawasan yang ingin dibangunkan. Mereka perlu mengelakkan membina rumah atau bangunan di kawasan yang berbukit bukau serta di kawasan yang berdekatan dengan sungai dijadikan lokasi pembinaan. Pemaju juga disarankan agar mendirikan bangunan atau tapak perumahan di tanah yang lapang dan rata.

2. Membina dan menyelenggara sistem perparitan yg efisien untuk memastikan air yg berlebihan akan mengalir ke tempat yang selamat tanpa menyebabkan kemalangan dan bencana.

3. Menanam semula pokok-pokok di cerun bukit terutama di kawasan yang telah dibangunkan. Usaha murni tersebut merupakan langkah terbaik untuk menjaga cerun-cerun dan kawasan yang dibangunkan daripada terdedah kepada risiko kejadian tanah runtuh.

WhatsApp Image 2022-12-17 at 3.30.02 PM
Keadaan selepas kejadian tanah runtuh yang baru berlaku di Batang Kali. 
kredit gambar BERNAMA

Konklusinya, kes tanah runtuh yang terjadi di Malaysia dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Oleh itu, tinjauan dan kajian geologi perlu dilakukan oleh pihak berwajib dengan menggunakan kaedah atau siasatan yang terperinci bagi membendung bencana ini yang banyak merosakkan infrasktruktur, kehilangan nyawa dan kemerosotan ekonomi di sesuatu kawasan. Suatu dana khas perlu disediakan untuk kerja-kerja penyiasatan geobencana yang berlaku bagi mengelakan kejadian tersebut berulang dengan tragis dan semua pihak akan lebih bersedia menghadapinya.

#tanahruntuh #tanah #runtuh #faktor #punca #cara #mengatasi #bencanaalam